Adakah Ganjaran Diperlukan Untuk Berjaya ?

      Ramai ibubapa yang berjanji untuk memberikan ganjaran melalui pelbagai bentuk contohnya wang dan barangan. Apa yang kita dapati ialah remaja kita sekarang dilihat lebih minat kepada ganjaran tersebut, bukannnya minat untuk belajar. Mungkin mereka belajar kerana ada ganjaran yang menanti mereka. Persoalannya ialah wajarkah ? Jawapannya ialah ganjaran patut diberikan selepas berjaya. Bukannya sebelum berjaya. Mungkin sesetengah ibubapa menganggap ini sebagai perangsang atau semangat supaya mereka belajar.Tetapi malangnya, ada sesetengah remaja yang mengambil kesempatan meminta yang bukan-bukan ataupun yang diluar jangkaan mereka. Kita harus sedar bahawa pelaburan yang paling besar dilaburkan oleh ibubapa kita ialah membesarkan kita. Satu cara untuk membalasnya adalah dengan belajar bersungguh-sungguh.
    Jika kita lihat kepada situasi kini, pelbagai gadget telah berkembang pesat menjadi maju. Mungkin mereka mahu menukarkan telefon bimbit mereka kepada yang lebih ' advance ' atau canggih. Tidak salah untuk meminta tetapi mesti kena pada tempat dan waktunya. Mesti mengambil kira aspek kewangan dan ketersampaian. Mereka yang berjaya sebenarnya mendapat lebih daripada ganjaran iaitu ilmu pengetahuan. Jika kita lihat di negara-negara miskin, pelajaran tidak disediakan kepada mereka yang miskin. Tetapi, kita bertuah kerana dilahirkan di negara yang mewajibkan penduduknya berpelajaran. Kita harus sedar akan hakikat dan keinginan. Jika keinginan kita itu melampaui batas, ia akan menyebabkan kita tidak tahu membezakan antara mampu dan tidak mampu.

    Ingatlah, pelajaran juga menyebabkan kita mendapat kerjaya yang sempurna serta dapat menampung kehidupan kita nanti. Janganlah terlalu mengharapkan ganjaran yang kadangkala menyebabkan kita leka serta lupa akan fungsi pelajaran itu sendiri.

Sekian.
Irfan Shaharuddin.